Pages

Tuesday

Menetapkan Peraturan Di Dalam Rumah


Bayangkan begini, kita mahu kucing kita bebas bermain di mana sahaja di dalam rumah tetapi bukan di belakang atau di atas TV. Kita mahu dia makan di dalam mangkuk yang disediakan dan tidak mahunya melompat di atas meja makan.

Atau kita mahu kucing bebas bermanja dan bergurau kecuali ketika kita sedang bekerja di hadapan komputer. Perkara sebegini adalah yang dikatakan undang-undang atau peraturan rumah.

Pendapat yang meluas mengatakan kucing kurang mampu mempelajari peraturan rumah. Kepercayaan ini adalah disebabkan kecenderungan kucing yang mahu sesuatu perkara itu mengikut kehendaknya sendiri. Perkara ini adalah benar, tetapi tidaklah benar sepenuhnya.

Kucing adalah binatang yang bijak dan boleh diajar beberapa peraturan dan mungkin juga kemahiran tertentu, jika mereka diajar dengan sabar, konsisten dan bertimbangrasa.

Adalah amat penting jika kita mahu anak kucing mematuhi sesuatu peraturan sehingga ianya dewasa, ia mesti diajar dan dimulakan sejak kecil lagi.

Misalnya kita tidak mahu kucing melompat ke atas meja makan. Ini perlu di ajar semasa kucing itu masih kecil. Cuba elakkan peraturan itu menjadi longgar hanya kerana anak kucing itu kelihatan sangat comel atau kerana kucing itu masih baru di rumah, kemudian menghukumnya pula apabila dia dewasa.

Kucing tidak akan dapat memahami mengapa dia dibenarkan untuk berada di atas meja makan semasa kecil, tetapi dihukum pula atas perlakuan yang sama ketika dewasa.

Sesetengah orang berkongsi katil dan tidur bersama kucingnya. Tetapi bukan semua orang begitu, mungkin anda tidak selesa berkongsi katil kerana kucing anda uka menggigit kaki anda, atau anda mempunyai alahan kecil. Apa sahaja sebabnya, sekadar menutup pintu bilik sahaja mungkin tidak memadai, melainkan kucing itu diajar supaya menjauhi bilik anda dan tidak berteriak apabila pintu ditutup.

Kucing tidak suka pintu yang tertutup. Naluri semulajadinya mendorong mereka untuk menyiasat apa disebalik pintu tersebut, walaupun mereka sudah pun mengetahuinya sebelum ini.

Tetapi seperti mana peraturan-peraturan lain, mengajarnya memerlukan kesabaran, konisisten dan bertimbangrasa. Kucing yang sentiasa dibenarkan berada dalam bilik tidur dan tiba-tiba ditegah akan berkemungkinan besar tidak akan menerima perubahan ini dengan serta-merta (dan mungkin juga memberontak).

Dia mahu bersama anda dan tidak memahami mengapa tiba-tiba tidak dibenarkan berbuat demikian. Dia mungkin menjerit dan berteriak di luar pintu, mencakarnya atau cuba menyelitkan kakinya dibawah celah pintu seolah-olah dia dapat mengangkat pintu itu ke atas supaya dapat melaluinya.

Kita boleh meletakkannya di bilik lain tetapi jeritannya mungkin tidak membenarkan anda untuk tidur dengan nyenyak. Ini adalah contoh mengapa kita perlu tetapkan dahulu peraturan yang perlu dipatuhi oleh kucing sebelum kita memeliharanya.

0 komen ..^_^:

Post a Comment